Thursday, April 30, 2009

KABINET NAJIB DIBAYANGI?


Kabinet baru telah hampir sebulan dibentuk. Persoalannya, adakah rakyat berpuashati dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh barisan kabinet baru ini?.

Hebatkah mereka?. Dan yang lebih penting, adakah mereka ini dilihat mampu untuk menyelesaikan segala permasalahan dalam kerajaan sekarang.

Secara jujur, rata-rata yang saya temui menyatakan kabinet kali ini tidak begitu memberangsangkan walaupun bukan mengecewakan.

Lebih merisaukan, ada yang berpendapat, kabinet kali ini adalah `kabinet kawalan jauh’ kerana dipercayai dibayangi oleh seseorang yang masih berpengaruh.

Perkara ini mestilah ditangani dengan segera oleh Datuk Seri Najib. Kalau Pak Lah hilang populariti kerana isu `tingkat 4’, Datuk Seri Najib pula boleh dihantui oleh isu `dibayangi’ ini sekiranya rakyat terus memperkatakannya.

Di dalam politik, sesuatu perkara itu betul ataupun tidak bukan soalnya. Perkara yang tidak betul pun akan dianggap betul sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.

Datuk Seri Najib mestilah dilihat oleh rakyat berdiri gagah diatas diri sendiri di dalam membuat apa juga keputusan tanpa dibayangi oleh sesiapa. Perkara ini perlu jelas kepada rakyat.

Selain daripada itu, komen-komen yang saya terima menyatakan, rakyat tidak mahu lagi mendengar ada kroni yang memburu kekayaan di dalam kerajaan dan jangan sesekali membawa pengaruh keluarga dalam pentadbiran, lebih-lebih lagi jangan biarkan rakyat melihat isteri melebihi Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib seharusnya menilai semula semua perkara dari atas hinggalah ke bawah. Jangan diatas sahaja yang elok tetapi di bawah banyak yang reput dimakan anai-anai secara diam-diam.

Rakyat bukannya menyukai UMNO hanya kerana mempunyai pemimpin atasan yang hebat. Rakyat juga sebenarnya menilai ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin akar umbi.

Rakyat tidak akan `sejuk hati’ untuk menyokong UMNO semula sekiranya ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin akar umbi yang ligat dengan sikap dan budaya lama saling berebut harta masih dikekalkan.

Datuk Seri Najib harus mengikis tanggapan rakyat, masuk UMNO kerana ada habuan. Jadi ketua bahagian kerana ada projek atau imbuhan. Jadi orang kuat bahagian kerana mudah jadi calon. Jadi calon pula adalah satu tiket untuk menjadi kaya raya!.

Pemimpin UMNO dilihat rakyat begitu cepat mengumpul kekayaan. Baru satu penggal menjadi YB, tiba-tiba sahaja menjadi jutawan, begitu tangkas membina mahligai dan memiliki koleksi kereta mewah. Rakyat mana yang tidak terkejut!

Inilah antara pembersihan yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin.

Pembersihan seterusnya yang harus dilakukan ialah terhadap kakitangan-kakitangan kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar dan pembangunan kepada rakyat.

Cerita kononnya ada Pegawai KEMAS Daerah di Kelantan yang menyokong pembangkang amat mengejutkan.

Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan yang secara sengaja bertindak `menyongsang’ daripada polisi-polisi kerajaan bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan amat mendukacitakan.

Tindakan-tindakan `sabotaj’ begini, harus dihentikan segera supaya niat murni kerajaan untuk membantu rakyat, akhirnya tidak `menikam’ semula kerajaan daripada belakang.