Thursday, April 30, 2009

KABINET NAJIB DIBAYANGI?


Kabinet baru telah hampir sebulan dibentuk. Persoalannya, adakah rakyat berpuashati dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh barisan kabinet baru ini?.

Hebatkah mereka?. Dan yang lebih penting, adakah mereka ini dilihat mampu untuk menyelesaikan segala permasalahan dalam kerajaan sekarang.

Secara jujur, rata-rata yang saya temui menyatakan kabinet kali ini tidak begitu memberangsangkan walaupun bukan mengecewakan.

Lebih merisaukan, ada yang berpendapat, kabinet kali ini adalah `kabinet kawalan jauh’ kerana dipercayai dibayangi oleh seseorang yang masih berpengaruh.

Perkara ini mestilah ditangani dengan segera oleh Datuk Seri Najib. Kalau Pak Lah hilang populariti kerana isu `tingkat 4’, Datuk Seri Najib pula boleh dihantui oleh isu `dibayangi’ ini sekiranya rakyat terus memperkatakannya.

Di dalam politik, sesuatu perkara itu betul ataupun tidak bukan soalnya. Perkara yang tidak betul pun akan dianggap betul sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.

Datuk Seri Najib mestilah dilihat oleh rakyat berdiri gagah diatas diri sendiri di dalam membuat apa juga keputusan tanpa dibayangi oleh sesiapa. Perkara ini perlu jelas kepada rakyat.

Selain daripada itu, komen-komen yang saya terima menyatakan, rakyat tidak mahu lagi mendengar ada kroni yang memburu kekayaan di dalam kerajaan dan jangan sesekali membawa pengaruh keluarga dalam pentadbiran, lebih-lebih lagi jangan biarkan rakyat melihat isteri melebihi Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib seharusnya menilai semula semua perkara dari atas hinggalah ke bawah. Jangan diatas sahaja yang elok tetapi di bawah banyak yang reput dimakan anai-anai secara diam-diam.

Rakyat bukannya menyukai UMNO hanya kerana mempunyai pemimpin atasan yang hebat. Rakyat juga sebenarnya menilai ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin akar umbi.

Rakyat tidak akan `sejuk hati’ untuk menyokong UMNO semula sekiranya ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin akar umbi yang ligat dengan sikap dan budaya lama saling berebut harta masih dikekalkan.

Datuk Seri Najib harus mengikis tanggapan rakyat, masuk UMNO kerana ada habuan. Jadi ketua bahagian kerana ada projek atau imbuhan. Jadi orang kuat bahagian kerana mudah jadi calon. Jadi calon pula adalah satu tiket untuk menjadi kaya raya!.

Pemimpin UMNO dilihat rakyat begitu cepat mengumpul kekayaan. Baru satu penggal menjadi YB, tiba-tiba sahaja menjadi jutawan, begitu tangkas membina mahligai dan memiliki koleksi kereta mewah. Rakyat mana yang tidak terkejut!

Inilah antara pembersihan yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin.

Pembersihan seterusnya yang harus dilakukan ialah terhadap kakitangan-kakitangan kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar dan pembangunan kepada rakyat.

Cerita kononnya ada Pegawai KEMAS Daerah di Kelantan yang menyokong pembangkang amat mengejutkan.

Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan yang secara sengaja bertindak `menyongsang’ daripada polisi-polisi kerajaan bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan amat mendukacitakan.

Tindakan-tindakan `sabotaj’ begini, harus dihentikan segera supaya niat murni kerajaan untuk membantu rakyat, akhirnya tidak `menikam’ semula kerajaan daripada belakang.

16 comments:

  1. salam kak,

    tahniah atas kelahiran blog terbaru. saya harap dengan kelahiran blog ini akak dapat berkomunikasi dua hala. menerima komen dan membalas komen tidak kira ianya pro atau kontra. saya adalah antara penggemar dan mengikuti perkembangan akak di blog. Walau akak berada di pihak sebelah sana saya akan tetap setia mengikuti blog akak. Bukan untuk bergaduh tapi hanya untuk berbeza pandangan.

    artikel akak di atas agak menarik untuk dibaca dan mengandugi luahan rasa terhadap permimpin terkini dan sikap kepimpinan setempat yang lebih pentingkan diri sendiri dari memberi perhatian kepada rakyat. syabas kak! saya harap luahan rasa akak ini dapat didengar pihak-pihak yang sepatutnya sepadan dengan kehendak PM baru... TRAN...FOR...MAAA...SIII...

    untuk pengetahuan akak, saya juga ahli UMNO. Tapi itu dulu. Ketika bersekolah di Johor, cikgu-cikgu selalu kata kena sokong Kerajaan BN kerana sekolah, buku teks mereka yang sediakan. Retoriknya begitulah. Masa tu budak-budak . Terimalah bulat-bulat.

    Tapi bila saya semakin dewasa, saya mula melihat skop kehidupan dengan lebih luas. Terlalu banyak soalan dalam diri saya.

    Kenapa itu dan kenapa ini?

    Kenapa di sekolah agama saya di ajar HUDUD tapi tidak dipraktikkan di negeri dan negara?

    Kenapa saya di ajar Riba' itu HARAM tapi bank2 masih amalkan?

    Kenapa kampung saya ramai mat gian?

    Kenapa ada disko?

    Ketika itu Dr M adalah PM kita dan juga idola saya. Ingin saja bertanya kepada PM berkenaan soalan2 itu. Tapi, apakan daya masa itu internet baru dipekernalkan dan belum ada blog.

    Kemudian, seorang kawan telah memberi saya sebuah buku tulisan Ahmad Lutfi(tak ingat tajuk). Di buku itu telah menceritakan Dr M telah menghina Janggut Nabi,Hudud dan Harun Din. Sejak saat itu saya mula meragui Dr M sehinggalah peristiwa Anwar Ibrahim dipecat.

    Sejak itu saya mula mencari kebenaran. Mula pergi ke ceramah2 PAS dan menghadiri USRAH. Rupanya tanggapan saya terhadap PAS sebelum ini silap. PAS sahaja yang boleh menjawab persoalan yang ada di kepala saya. Inilah perjuangan yang sebenarnya. Menegakkan Hudud dan Negara Islam.

    Sebelum ini saya ingat UMNO lah pejuang bangsa, agama dan negara. Tapi sebenarnya TIDAK. UMNO hanya gunakan bangsa, agama dan negara untuk kepentingan masing-masing. Sebab itu sistem yang UMNO amalkan lebih 50 tahun GAGAL. GAGAL membentuk jati diri Melayu apatah lagi pegangan ISLAM. Sebab itu masalah sosial semakin kronik. Rompak, Bunuh, Rogol, Seks bebas, Bohsia, Mat Rempit, Samseng, semuanya semakin berleluasa. UMNO juga gagal sampaikan istilah ISLAM kepada BUKAN ISLAM. UMNO cuma kata Hukum ISLAM itu zalim, potong sana, baling sini. Sedangkan Hukum Islam itu adalah pedinding dari membuat KEJAHATAN. Bukan itu saja. Kalau BUKAN ISLAM faham tentang ISLAM tidak akan timbul isu masalah sembelihan, makanan tak halal yang semua itu boleh merosakkan keturunan orang Islam kerana makan makanan Tak Halal. Bila keturunan rosak maka timbullah masalah-masalah termasuklah masalah sosial.

    Inilah contoh kegagalan sistem yang UMNO amalkan selama lebih 50 tahun. Sistem yang lebih pentingkan pembangunan Fizikal dari rohani. Sistem yang tidak seimbang antara dunia dan akhirat. Sistem yang akak sendiri lihat hari ini. KAYAkan diri sendiri dulu baru orang lain.

    Minta maaf kak...panjang pulak komen... I'm soriii... :)

    ReplyDelete
  2. Salam kumbang,

    T. kasih dengan komen yang panjang tersebut. Blog ini akak memang wujudkan khas untuk melihat perbezaan pendapat.

    Blog UMNO Bagan Pinang dikatakan terlalu `pro' dan ramai yang rasa tidak selesa untuk memberikan pandangan.

    Jadi disini anda boleh komen apa saja. InsyaAllah akak akan publishkan asalkan tidak menggunakan perkataan kesat dan memfitnah.

    Untuk kumbang, akak menghormati perbezaan pendapat tetapi perlu dihalusi perjuangan PAS.

    Akak dulupun bersimpati dengan perjuangan PAS dan Anwar Ibrahim tetapi bila mereka mula menyonsang dengan perjuangan mereka, akak mula tawar hati dan aktif di dalam UMNO.

    T kasih.

    ReplyDelete
  3. salam kak,

    terima kasih kerana menyiar dan membalas komen saya. cuma satu saja soalan saya. bahagian mana PAS telah menyongsang dari perjuangan asal?

    Adakah kerana telah bersekongkol dengan DAP?

    Kalau itulah penyebabnya pada saya PAS memang sepatutnya berkawan dengan DAP. Bukan saja DAP. MCA, MIC, PPP, PBS dan parti-parti yang ahlinya ramai bukan Islam. Bukan apa, dakwah islam bukan untuk orang Islam semata. Dakwah Islam untuk semua tak kira cina, india, orang putih, iban atau pun kadazan.

    Islam tiada sempadan. semua berhak mengetahui kebaikan Islam. Kerana Islam adalah kesejahteraan. Selama ini Islam digambarkan kepada Bukan Islam dengan perkara yang tidak benar. Itulah yang di lakukan oleh Amerika kepada dunia malah dalam negara sendiri pun digambarkan begitu.

    Bila timbul PAS ingin menegakkan NEGARA ISLAM bersama HUKUM HUDUD. UMNO sudahlah menolak HUKUM tersebut malah melalui media momokkan dengan perkara-perkara yang menakutkan orang Bukan Islam. Patutkah begitu?

    Orang Bukan Islam hari ini lahir hasil dari sistem yang diamalkan lebih 50 tahun dulu. maka tidak heranlah mereka tidak faham Islam dan Hukum Hudud. Kalau mereka tahu HUDUD boleh menjaga harta benda mereka, mengawal keselamatan keluarga mereka sudah tentu mereka akan minta HUDUD dilaksanakan.

    Pada saya PAS tidak pernah menggugurkan perjuangan menegakkan NEGARA ISLAM dan HUKUM HUDUD. Sebab itu semua ada dalam perlembagaan PAS. Cumanya cara perjuangan PAS berbeza untuk disesuaikan dengan suasana. Matlamat tetap sama cuma pendekatan sahaja berbeza.

    Tok Guru Nik Aziz pernah kata kepada UMNO. "Kalau UMNO sedia menegakkan HUKUM HUDUD dan NEGARA ISLAM, hari ini juga PAS akan Bubar dan sokong UMNO". Tok Guru kata takkan tak boleh percaya.

    TQ.

    ReplyDelete
  4. Salam Kumbang,

    Salah satu sebabnya `YA' kerana bersekongkol dengan DAP.

    Suami Akak pernah berbincang perkara ini dengan bekas Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan yang mana seorang `hafiz'dari kumpulan ulama.

    Dia juga memberikan jawapan yang sama iaitu sebagai satu usaha dakwah. Akak bersetuju sekiranya PAS bersekongkol dengan DAP kerana usaha dakwah tetapi kita harus jujur, adakah ianya semata-mata usaha dakwah atau kerana kuasa.

    Akak belum nampak `persekongkolan' ini adalah kerana dakwah. Yang akak nampak PAS digunakan DAP untuk memperluaskan pengaruhnya seperti di Perak.

    Lagipun PAS selalu menafikan untuk mewujudkan negara Islam didepan penyokong DAP. Adakah ini menepati ciri-ciri berdakwah?. Sepatutnya PAS lebih dominan dan tidak tunduk kepada DAP. Bila PAS tunduk kepada DAP, maka menampakkan PAS sanggup menggadaikan perjuangan kerana kuasa.

    Berkenaan TG Nik Aziz, akak rasa kecewa kerana kebelakangan ini banyak kenyataannya yang bercelaru.Contohnya menyokong projek 16 Sept. Anwar dan kemasukan ADUN BN ke PKR di Perak dan kemudiannya tidak bersetuju pula kemasukan ADUN PKR ke BN. Bukankah perkara ini sama saja dari segi moralnya?

    Akak rasa TG Nik Aziz terlalu sangat dipengaruhi oleh kumpulan erdogan `mee celup' seperti yang dinayatakan oleh anaknya Nik Abduh.

    Walaupun beliau TG tetapi kita tidak seharusnya menerima pendapatnya `bulat-bulat' tanpa menggunakan akal sendiri dan rujukan lain.

    Bukankah beliau juga beberapa kali mengubah pendiriannya selepas mendengar pendapat TG Haji Hadi dan ulama-ulama lain seperti yang dinyatakan Nik Abduh.

    Akak rasa PAS perlu berhati-hati dengan kumpulan Erdogan ini! Sekiranya tidak, PAS akan mengalami perpecahan semasa muktamar nanti.

    T. kasih

    ReplyDelete
  5. salam kak,
    apa yang akak utarakan tlah saya sebutkan dengan panjang lebar dalam blog saya menerusi artikel 'keluarga di dahulukan, kroni diutamakan?' dan 'tingkat 4 vs tingkat kubah' kalau ada masa baca la.
    apapun kita berkongsi keresahan rakyat dan orang melayu..tkasih

    ReplyDelete
  6. Salam Kak,

    Dakwah ada bermacam-macam cara. secara direct
    ataupun indirect. Begitulah antara PAS dan DAP.
    Bukan senang kak nak yakinkan orang Bukan Islam
    yang sudah lebih 50 tahun ditakut2kan dengan
    kewujudan Negara Islam dan HUDUD. Yang nyata PAS tetap teguh dengan pendirian wujudkan Negara Islam dan Hukum Hudud.

    Soalan saya. Kenapa UMNO yang sudah 50 tahun
    berkuasa tidak teringin menjadikan Al-Quran
    sumber perlembagaan negara?

    Itulah yang membezakan perjuangan PAS dan UMNO.
    Sumber PAS adalah Al-Quran. Sumber UMNO?

    Sebab itu dalam PAS tiada Rasuah, politik wang,
    jatuh-menjatuh. Kenapa dalam UMNO ada? Sebab
    Sumber UMNO ialah WANG RINGGIT. NO MONEY, NO TALK! Setiap kali ada pemilihan, pilihanraya,
    Wang Ringgit yang bertaburan sana-sini. Pada saya UMNO dan RM tidak boleh dipisahkan.

    Seterusnya, dalam isu TG Nik Aziz dan TG Hadi,
    saya andaikan maklumat yang akak terima dari
    sumber yang tidak tepat, dari media kawalan umno, blog-blog yang tidak sahih kebenarannya dan penganalisis2 politik yang pro umno. Kumpulan Erdogan itu sendiri UMNO yang labelkan.

    Biasalah kak, dulu masa PAS tak kuat tiada sapa
    peduli. Tapi bila sudah mula menggugat umno,
    sudah tentu macam cara dibuat untuk
    menampakkan PAS sedang kucar-kacir.

    Hakikatnya Tidak. Orang PAS tak kira ulamak
    ataupun tidak adalah manusia biasa. Bukan maksum. Tetap buat salah dan berdosa. Punya kehendak yang berlainan dan sudah pasti berbeza pandangan.

    Adatlah dalam sesebuah organisasi. yang penting
    dalam PAS setiap permasalahan, setiap perbalahan, akan diselesaikan dalam musyawarah dan muzakarah. Kembali pada AL-Quran yang menjadi rujukan utama.

    Selama ini kita tengok UMNO yang selalu berpecah. InsyaALLAH kak, Saya yakin PAS tidak kecuali beberapa ahli yang tidak puashati dengan pimpinan mereka dipersilakan keluar dari parti.

    TQ.

    ReplyDelete
  7. Terima kasih kumbang,

    Akak masih berpendirian PAS bersekongkol dengan DAP adalah kerana kuasa. Itu yang akak nampak sekarang kecuali kumbang boleh bagi satu contoh hasil kerja dakwah PAS terhadap DAP.

    Adakah kita dapat lihat perubahan sikap pemimpin DAP terhadap negara Islam dan hudud?

    Berkenaan politik wang dan jatuh menjatuh di dalam UMNO, akak rasa tidak ada seorang pun ahli UMNO yang waras menyokong perkara tersebut.

    Perkara ini berlaku kerana ada segelintir mereka yang tamakkan harta, pangkat dan nafsu. Inilah perkara yang generasi baru di dalam UMNO tentang dan kita ingin mewujudkan budaya politik baru yang lebih terbuka dimana politik adalah untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya kerana tiga `TA' (takhta, harta dan wanita).

    Akak rasa dalam parti PAS, perkara ini belum diuji kerana `kek'nya belum besar. Walaubagaimanapun ujian tersebut sudah mula kelihatan apabila pertandingan untuk merebut jawatan sudah mula kelihatan disana-sini sekarang.

    Kalau tak percaya kita tunggu muktamar nanti. Adakah setiap masalah akan diselesaikan secara musyawarah dan muzakarah?

    Sekiranya mereka betul-betul berjuang untuk agama, sudah tentu kaedah tersebut akan dituruti tetapi sekiranya perjuangan untuk peribadi atau untuk tiga `Ta', sudah tentu kemusnahan akan menunggu.

    Kita hanya boleh menilai seseorang tersebut apabila diuji dengan tiga `Ta'. Harap-harap pemimpin PAS terkecuali.

    T. kasih

    ReplyDelete
  8. salam kak,

    kalau nak contoh dakwah PAS pada DAP banyak. Yang tak sensasi dan yang sensasi. Antara yang sensasi, bila DAP cuba nak faham kandungan Al-Quran tapi disalah ertikan sebagai nak hina Al-Quran. Siap buat lapuran polis. Apa ni? Biarlah orang bukan Islam nak belajar Al-Quran. Al-Quran memang milik orang Islam dan Bukan Islam juga di galak untuk belajar supaya faham Islam tu bagaimana.

    Tersilap sebut tu perkara biasa sebab lidah mereka Bukan Islam. Sekurang-kurang ada usaha mereka ke arah itu. Takdir Allah sape tahu? Kita hanya merancang. Mungkin dengan permulaan ini ada antara mereka akan mengucap khalimah syahadah maka semakin ramailah orang Islam kat negara kita. Bukan setakat ramai Melayu dan Bumiputera sahaja.

    Saya rasa, UMNO tak pernah cuba mentarbiyah MCA dan MIC begitu. Melainkan kata pada MCA dan MIC, HUDUD tu hukuman yang ekstrem.

    Memang tak dinafikan KUASA adalah penting. Atas dasar KUASA, PAS boleh buat apa sahaja di Kelantan. Atas dasar kuasa UMNO boleh buat apa sahaja di seluruh negara. Perbezaannya antara KUASA PAS dan UMNO ialah kuasa PAS terhad dan UMNO menyeluruh. Akak masih belum jawab soalan saya, Kenapa KUASA UMNO yang BESAR masih TAK MAMPU nak laksanakan HUDUD?

    Tentang 'TA' tu semuanya datang dari ALLAH dalam bentuk ujian dan UMNO telah melalui dan ternyata GAGAL. Bagi PAS mereka sudah di uji di Kelantan 19 tahun dan Alhamdulillah... TG Nik Aziz masih kekal hidup sederhana. Begitu juga ADUN2 yang lain.

    Sebenarnya antara PAS dan UMNO memang berbeza perjuangan. UMNO letakkan Bangsa no.1 dan Agama no.2. Di Malaysia bangsa Melayu mungkin bangsa yang mulia. Tapi disisi ALLAH, Keimanan yang lebih utama dan penentu ke Syurga.

    Saya kagum dengan semangat akak yang ingin mengubah budaya politik UMNO dan ini mungkin perlukan masa dan masa juga penentu masalah sosial dikalangan orang Melayu/Islam semakin kronik atau tidak.

    TQ.

    ReplyDelete
  9. Terima kasih Kumbang,

    Akak tak berani nak komen pasal negara Islam dan hudud kerana akak bukan arif berkenaan perkara tersebut. Lagipun ianya berkaitan dengan akidah.

    Walaubagaimanapun secara peribadi dan sebagai seorang Islam akak memang menyokong pembentukan negara Islam termasuklah perlaksanaan hukum hudud.

    Tetapi apa yang diucapkan tidak semudah untuk melaksanakannya. Janji-janji PR di Selangor yang tidak berkaitan dengan negara Islam pun gagal untuk ditunaikan.

    Isu penutupan kilang arak di Shah Alam juga diberikan berbagai dalih apabila telah berkuasa.

    Berkenaan Kelantan, kumbang jangan kata mereka berjaya melalui ujian Allah. Suami akak orang kelantan. Jadi Kelantan bukan asing bagi akak.

    Pernah berlaku ADUN PAS yang bergelar TG tidak dicalonkan semula bertanding kerana menjadi kaya-raya selepas menjadi exco yang menjaga balak.

    Kalau nak kata kerajaan kelantan berjaya dalam serba serbi tidak juga. Kadar jenayah di Kelantan semakin meningkat. Begitu juga kadar pengangguran dan sebagainya semakin meningkat.

    Delta sungai Kelantan yang dulu menjadi tempat penduduk bercucuk tanam sekarang telah dibangunkan Tesco yang menyebabkan penduduk hilang mata pencarian.

    Tesco juga telah menyebabkan beberapa Pasar raya melayu gulung tikar.

    Begitu juga sekiranya kumbang ke Daerah Tumpat. Disitu ada patung Budha tidur yang dikatakan kedua terbesar di Asia (Kalau akak tak silap). Dan sekiranya ke Pengkalan Kubur, dipertengahan jalan ada Patung Budha Berdiri yang boleh dilihat berbatu-batu jauhnya sehingga ke kampung melayu disekitar.

    Bukankah di negeri serambi mekah tidak manis sekiranya patung Budha adalah lebih tinggi dari kubah masjid.

    Kenapa patung-patung ini diluluskan pembinaannya? Bukankah ini semua adalah untuk meraih undi penduduk siam bagi mengekalkan kuasa? Bukankah Baginda rasulullah memusnahkan patung-patung sekitar kaabah?

    Sebab itulah akak masih berpendirian, pemimpin politik di Malaysia baik UMNO, PAS, PKR, DAP dan lain-lain terlalu banyak bermain politik.

    Kenyataan-kenyataan yang dibuat selalunya untuk kepentingan politik masing-masing. Sebab itulah bagi akak, pemimpin DAP yang baca al-Quran juga adalah kerana untuk memancing undi.

    Kalau beliau betul-betul ingin belajar dan menghayati al-quran, bukan begitu caranya dan tidak perlu dilakukan diceramah politik.

    T. kasih

    ReplyDelete
  10. Salam kak,

    Saya setuju dengan akak parti-parti politik kat negara kita ni semua berpolitik. sebabnya kerana UNDI dan KUASA. sebagai rakyat kita kena buat pilihan tentukan siapa yang berkuasa. UMNO atau PAS? BN atau PR? Mesti ada yang LEBIH BAIK dari yang BAIK.

    Natijahnya rakyat dah beri peluang UMNO/BN berkuasa lebih 50 tahun. Ya. Memang tidak dinafikan BN/UMNO dah banyak buat perubahan sehingga Malaysia menjadi seperti hari ini. Tetapi dalam masa yang sama walaupun Malaysia kelihatan maju, rakyat hidup tak tenteram. Kerana apa? kerana masalah-masalah seperti kes-kes jenayah yang semakin meningkat bukan sahaja berlaku di Kelantan tapi di seluruh Malaysia disamping bencana seperti tsunami, tanah runtuh dan banjir.

    Bagi saya ini bala dari ALLAH. Bala dari ALLAH ditujukan pada semua tak kira orang tu tak solat, pak imam, ustaz ataupun Tok Guru. Bagi orang beriman Bala adalah ujian dan peringatan dari ALLAH.

    Saya nak cerita sket... seorang lelaki tengok perempuan yang pakai seksi kat TV, Majalah ataupun mana2. tiba-tiba dia bernafsu. untuk melepaskan nafsu bukan perempuan seksi tu jadi mangsa tetapi mungkin budak sekolah, anak kandung, anak tiri dan mungkin perempuan pakai tudung yang jalan sorang2...

    Pada akak kenapa lelaki tersebut buat begitu? patutkah orang lain yang jadi mangsa?
    apa undang2 yang boleh mencegah dari berlaku?
    cukupkah sekadar hukuman penjara atau bayar denda?

    Sebab tu kak antara UMNO dan PAS, kita kena buat pilihan. Berpolitik adalah soal lain. Nak memenangi hati pengundi juga soal lain. Yang penting tujuan kita untuk apa? Untuk masa kini atau generasi akan datang. Kalau tak berubah ambil Islam sepenuhnya 10-20 akan datang saya rasa kehidupan sosial masyarakat Malaysia akan seperti orang Amerika. Semuanya BOLEH!

    Kak, saya memang berharap kalau UMNO nak berubah tetapi berubah lah kepada yang lebih baik. Kalau nak Islam, ambil Islam sepenuhnya bukan separuh2. Bukan sekadar nak Islam hanya nak pikat orang Melayu sahaja dan laungkan One Malaysia untuk pikat semula orang India dan Cina. Masa semakin suntuk. Mat rempit semakin berani. Mat ragut semakin ganas hingga tahap MEMBUNUH. Berdoalah supaya tak terjadi kat keluarga kita. Amin.

    Terima Kasih kak kerana sudi layan luahan hati saya.. :)

    ReplyDelete
  11. Salam Kembali,

    Sebab itulah akak kata, kita kena menilai secara halus perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

    Pertamanya adakah PAS akan diberikan peranan menerajui negara sekiranya PR memerintah? atau PAS cuma diberikan peranan seperti di Perak.

    Sekiranya peranan seperti di Perak, maka perjuangan PAS akan sia-sia dan harapan kita semua untuk melihat perubahan juga akan sia-sia.

    Bagi akak kalau betul PAS memperjuangkan negara Islam, PAS kena keluar dari PR. Adalah tidak relevan PAS bersekongkol dengan PKR dan DAP yang terang-terang menolak negara Islam walaupun diatas alasan dakwah.

    Sekira PAS terus bersekongkol dengan dua parti ini, akak yakin PAS dan kita semua akan tertipu sekali lagi. Dan pada masa itu sudah tentu kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu akan lebih terancam.

    Sebab itulah kita sepatutnya bersyukur kerana ALLAH tidak mengizinkan PR memerintah Malaysia pada PRU-12 dan projek 16 Sept yang lepas kecuali beberapa negeri.

    Sekarang kita dapat menilai negeri-negeri yang diperintah PR. Adakah kumbang rasa ianya menjurus kepada negara Islam?

    Sebab itulah akak menyokong `unity government' yang dicadangkan TG HJ Hadi ataupun PAS bergabung terus bersama UMNO tanpa mempedulikan `unity government'. Akak rasa UMNO lebih relevan dengan perjuangan negara Islam PAS.

    Di dalam UMNO kita sudah boleh menilai, ada banyak yang baik dan ada banyak juga yang tidak baik. Selama 50 tahun rakyat sudah boleh membuat keputusan.

    Tetapi akak yakin dengan apa yang berlaku pada PRU-12 yang lepas, pemimpin UMNO sudah berada pada tahap kesedaran yang tinggi untuk memenuhi kehendak rakyat.

    Sebab itulah kita sebagai generasi muda yang lebih terbuka harus memainkan peranan yang lebih berkesan. Jangan menolak UMNO kerana pemimpinnya. UMNO sebenarnya tidak bersalah, yang bersalah ialah pemimpin yang tidak menjalankan amanahnya.

    Lagipun jangan kita menggadaikan nasib agama dan bangsa kita kepada parti yang tidak mempunyai `track record'. Nilailah dengan fikiran yang waras dan bukannya dengan sentimen.

    T. kasih

    ReplyDelete
  12. Salam Kak,

    Bertemu lagi. Beberapa hari lalu agak sibuk namun begitu blog akak tetap di baca.

    Ok. Hmmm... nampaknya akak masih berpendirian perjuangan UMNO adalah yang TERBAIK. Pada saya, UMNO hanya BAIK tapi bukanlah pilihan TERBAIK. Sekarang ini saya masih perhalusi perjuangan PAS dan PR dan saya dapati masih yang TERBAIK.

    Kenapa saya kata begitu kerana saya dah ceritakan pada komen2 yang lepas. Tentang 'Track Record' PAS dan PR boleh tengok negeri2 dibawah PR. semua under control. Cuma media sengaja gambarkan seolah ada yang tak kena dan akak pun sedia maklum media semua di bawah kawalan UMNO. Maka tak heranlah semua negeri tu negatif di mata mereka. Tujuannya nak pengaruhi rakyat supaya sokong mereka kembali. Saya anggap ini TIDAK ADIL. Media seharusnya tidak berpihak mana-mana. Mungkin juga ini salah satu faktor rakyat meluat dan UMNO/BN hilang 4 negeri.

    Untuk 'Track Record' UMNO pula lihatlah setelah 50 tahun UMNO sebagai pemegang amanah KUASA pemerintahan. Hasilnya apa yang kita lihat HARI INI. Semuanya bermula dari kegagalan sistem pendidikan, ekonomi dan seterusnya merosakkan sistem sosial.

    Bukan salah UMNO? So, salah siapa? Bukankah UMNO yang merancang dasar, membuat sistem, mencipta peraturan. Walhal sudah ada sumber yang patut diambil iaitu dari Al-Quran.

    Al-Quran tidak boleh dijadikan rujukan kerana rakyat berbilang kaum? Semenjak merdeka pemimpin UMNO Melayu dan Islam, kenapa tak boleh buat begitu?

    Oh! lupa bukan salah UMNO tapi salah pemimpin. Pemimpin yang merosakkan UMNO. Pemimpin yang mana satu? Dah disingkir belum?

    Lagipun UMNO diambil dari perkataan Inggeris UNITED MALAY NATIONALISME ORGANISATION atau dalam bahasa Melayu PARTI KEBANGSAAN MELAYU BERSATU(PKMB). Perkataan UMNO tu sendiri dah melambangkan keINGGERISan maka acuan Inggeris lah patut kena ikut. Pakaian, cara hidup kena Inggeris dan belajar Sains dan Matematik mesti dalam bahasa Inggeris. Nak berjaya kenalah pandai cakap Inggeris. Bahasa Arab? Takpe, itu nanti boleh belajar atau hantar sekolah agama. Kalau yang tak hantar? Bahasa Arab, bahasa Al-Quran tu.

    Sebenarnya kak, banyak sebab UMNO mesti di tolak. Bukan hanya sebab pemimpin yang tak amanah. Akak hanya pemimpin bawahan. Pemimpin atasan ni hanya kelihatan baik di hadapan media juga di hadapan pemimpin bawahan macam akak dan penyokong-penyokong. Tapi di belakang, dengan kuasa WANG berbagai rancangan dibuat untuk membolehkan mereka tetap di atas. Tiada WANG tiadalah KUASA. Dengan WANG boleh buat apa saja seperti yang berlaku di PERAK. Siapa yang mulakan dulu huru-hara ini? Kerajaan pilihan majoriti RAKYAT tapi ditumbangkan dengan cara yang begitu HINA sekali. Bukankah MB Perak tu Melayu dan Islam?

    Sebelum ni, saya tak sentuh tentang patung Buddha terbesar di Kelantan dan macam2 yang negatif yang akak cerita tentang Kelantan. Kerana bagi saya TG Nik Aziz ada jawapan. Tapi pada pandangan saya TG Nik Aziz tak gunakan kuasa WANG untuk menarik undi cukup sekadar membenar kebebasan beragama kerana rakyat kelantan terdiri dari berbilang kaum. Yang penting apa yang TG Nik Aziz buat di Kelantan menutup semua ruang-ruang melakukan maksiat dan mengajar rakyat Kelantan supaya taat perintah ALLAH. Itulah contoh KUASA yang di beri pada TG Nik Aziz untuk mentadbir Kelantan. Kalau masih berlaku juga maksiat itu adalah kehendak ALLAH dalam bentuk ujian dan manusia boleh memanipulasi 'indek' yang sudah tentu untuk memburukkan Kelantan.

    Seperti akak saya juga tak mahu PR menang pada PRU-12. Harapan saya cukup sekadar memecah dominasi 2/3 dan nampaknya doa saya di makbulkan kerana bagi saya biar secara perlahan tapi ada peningkatan sokongan. Kerana bagi saya setiap kegagalan ada hikmah supaya bekerja lebih kuat lagi. Bagi penyokong PAS, kami bekerja bukan kerana DUIT melainkan kami yang kena keluar DUIT. Tujuan kami untuk menjadikan kehidupan lebih sejahtera dari apa yang kita lihat hari ini. Jangan risau kak selagi PAS dalam PR fungsi PAS sebagai check n balance. Di kawasan saya India dan China lebih suka PAS dari PKR dan DAP kerana mereka lihat kesederhanaan orang PAS itu sendiri. Itulah PAS akan buat dakwah secara perlahan2 supaya mereka faham apa itu Islam.

    Sebenarnya banyak saya nak komen lagi dan jelaskan kenapa dan kenapa tapi nantilah saya sambung. harap akak sudi baca.

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  13. Maaf lambat publish, akak baru balik dari kursus.

    Banyak fakta yang akak berikan bukanlah akak ambil bulat-bulat dari media yang kononnya dikawal oleh kerajaan.

    Beberapa hari lepas, seorang ibu yang sedang mengandung mati kerana diragut di Tumapt, kampung suami akak. Rujukan ini bukan daripada media. Menandakan kejadian jenayah masih berleluasa dan menunjukkan kegagalan kerajaan PAS mendidik masyarakat.

    Kilang arak yang masih beroperasi di Shah Alam walaupun dijanjikan akan ditutup selepas menang, semua orang pun boleh tengok. Bukan juga dirujuk dari media.

    Dan baru beberapa hari lepas, akak berkunjung ke rumah rakan lama di Selangor, dia yang pada PRU-12 menyokong PR menceritakan bermacam-macam kepincangan kerajaan Selangor dan ketidakpuasan hati rakyat selangor dan merasa sangat kecewa kerana harapan yang dijanjikan oleh PR dulu cuma mainan bibir.

    Begitu juga di Perak, akak berjumpa beberapa peserta kursus dari Perak yang menceritakan keburukan kerajaan PR di Perak. Sebab itulah di Bukit Gantang memperlihatkan peningkatan sokongan pengundi melayu kepada UMNO.

    Orang melayu/Islam sudah mula sedar permainan politik PR. Mengenai pengundi bukan melayu, apa yang nak dibuat. Dracula yang sudah biasa meminum darah, sudah tentu tidak berminat lagi dengan susu.

    Lagipun menteri besar baru juga melayu/Islam dn barisan exco juga majoritinya melayu/Islam.

    Kenapa kita tidak bersyukur? Bukankah itu menandakan kemenangan melayu/Islam.

    Walaupun kerajaan membuat dasar dan sebagainya, kita masih mempunyai pilihan untuk mendidik anak masing-masing. Anak akak semuanya bersekolah agama dan seorang yang lelaki pernah akak hantar ke Mesir belajar agama. Kerajaan tak halang pun.

    Jangan kata PAS tak guna wang semasa PRU-12 di Kelantan, Suami akak pengundi di Kelantan dan tahu benar cara PAS bermain politik di Kelantan dan kepada siapa PAS menjual balaknya untuk membiayai PRU.

    Bagi akak perjuangan PAS bukan kerana prinsip dan perjuangan lagi. Cakap-cakap PAS adalah permainan politik orang yang tamakkan kuasa dengan bersekongkol dengan DAP dan anwar Ibrahim.

    T. kasih

    ReplyDelete
  14. Salam Kak,

    Saya dah agak akak akan timbulkan kes ragut di Kelantan. Ya. Saya akui berlaku di Kelantan. Media pun beria-ia melaporkan. Bukan saja kes ragut, juga kes bunuh, rogol, dadah, rempit, bohsia semuanya memang pernah berlaku di Kelantan.

    Itulah bila 5 kes berlaku di Johor dan 1 di Kelantan, kes di Kelantan lah yang dibesar-besarkan seolah Kelantan lah negeri paling teruk masalah sosial walaupun dipimpin oleh seorang ulamak.

    Soalan saya, kalau PAS gagal mendidik masyarakat adakah UMNO berjaya?

    Tentang kilang arak di Selangor. Orang UMNO hanya nampak kenapa kilang arak tak ditutup selepas PR menang? Tetapi mereka lupa Kerajaan MANA yang benarkan Kilang arak ini di BINA?

    Nak BINA ada prosidur dan nak TUTUP tentulah ada prosidur dan memakan masa. Masalah takkan timbul kalau kilang ini tak dibina. Seolah kerajaan PR ni umpama kerajaan mencuci NAJIS.

    Tentang Perak pula. Saya setuju MB baru juga Melayu dan Islam, juga yang sebelum ini. Yang jadi pertikaian sekarang CARA UMNO ambil alih kerajaan tersebut yang pada hemat saya WANG adalah faktor. Seperkara lagi setahun lalu semasa DS Nizar jadi MB, Jom Heboh langsung tiada di Perak dan baru2 ni diadakan semula di Lumut setelah MB 'baru'. MB Melayu/Islam tapi menggalakkan perkara MUNGKAR. Bermakna MB 'baru' telah melanggar fatwa Dato' Mufti Perak.

    Sebenarnya kak tujuan saya kata kenapa UMNO macam tu dan PAS hendak ini untuk saya dan akak berfikir. Adakah UMNO berada di landasan yang BENAR atau PAS yang sudah menyimpang?

    Kalau benar UMNO nak TRANSFORMASI, berubahlah dari apa yang di amalkan sekarang kepada yang lebih baik.

    Contohnya:

    1) kurangkan atau hapuskan terus aktiviti MUNGKAR seperti konsert contoh di Jom Heboh atau yang sewaktu dengannya.

    2) Kurangkan(lagi bagus tutup terus) Disco, Pub, Kelab Malam, Dangdut dan buat peraturan 'HANYA orang bukan islam boleh masuk!'

    3) Jangan jual arak secara terbuka. Kerana arak boleh sebabkan kemalangan jalan raya dan masalah sosial yang lain seperti rogol dll. Mat rempit juga antara yang minum arak.

    4) Ubah sistem pendidikan kepada Islam. Sistem pendidikan sekarang pada saya GAGAL bentuk jati diri dan pegangan ISLAM orang MELAYU. Rasanya kalau pendidikan Islam di sekolah sekarang cukup tidak perlu akak pilih sekolah agama untuk beri pendidikan pada anak-anak. Akak mungkin mampu, orang lain?

    5) Ubah sistem ekonomi kepada Islam. Sistem yang ada sekarang masih ada pemisahan. Sepatutnya hanya satu sahaja. Sudah tahu Riba' itu haram kenapa amalkan?

    6) Ubah perlembagaan kepada HUDUD. Penyelesaian masalah sosial ada disini. Kita ni ibarat menumpang di rumah(bumi) kepunyaan ALLAH. Sebagai penumpang takkan kita yang tentukan undang-undang sendiri mestilah TUAN RUMAH iaitu ALLAH. ALLAH suruh laksana mesti ada HIKMAH disebalik. Itu Jaminan ALLAH kepada hambanya.

    7) Galakkan terutama kaum wanita menutup aurat.

    Beberapa senarai di atas adalah pilihan dan inilah sebenarnya yang saya NAK. Kalau UMNO NAK laksanakan seperti senarai di atas dengan ini saya istiharkan saya akan sokong UMNO. Ini syarat saya dan juga penyokong2 PAS.

    Mungkin pada akak PAS tak mampu sebab tu kena masuk PR dan sekongkol dengan DAP dan PKR. Ini bukan soal sentimen atau politik. Ini soal kesejahteraan manusia. Ok. Lupakan pasal PAS kerana akak kata PAS sudah menyimpang dari tujuan asal. Sekarang saya mengharap kepada UMNO. Boleh tak akak sampaikan mesej penyokong PAS ini pada pemimpin UMNO tentang ini?

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  15. Terima kasih,

    Akak bersetuju dengan apa yang kumbang sarankan dan akak berjanji akan kupas perkara tersebut di dalam blog UMNO Bagan Pinang kerana akak tahu ramai pemimpin UMNO yang baca blog itu berbanding blog ini yang masih baru.

    Ya betul, UMNO banyak membuat kesilapan. Perkara ini diakui sendiri oleh kepimpinan baru UMNO. Sebab itulah mereka melaungkan perubahan di dalam UMNO.

    Tetapi persoalannya adakah PAS dapat melaksanakannya apabila ditakdirkan diberi kuasa memerintah oleh ALLAH.

    Itu yang akak tidak yakin. Pertamanya PAS akan berkongsi kuasa dengan mereka yang lebih ekstrem menentang Islam. Keduanya mengikut trend terkini PAS akan dipimpin bukan lagi oleh golongan ulamak.

    Pada zaman Dato' Asri Muda memimpin PAS, beliau juga hebat mengkritik UMNO tetapi beliau tidak pernah khianat kepada agama, bangsa dan negara.

    Tetapi sekarang PAS sanggup sehingga membuka `pintu rahim' yang dikatakan tempat paling sulit bagi memuaskan hati bangsa lain bagi mendapatkan kuasa seperti yang berlaku di Perak.

    Kita kena ingat, Agama Islam dan bangsa melayu sekarang berada dipersimpangan. Adakah kita sanggup kehilangan segalanya kerana ingin memuaskan emosi dan perasaan kita.

    Cuba berfikiran ke hadapan dan di dalam skop yang lebih besar, cuba hayati apa yang telah berlaku di Pulau Pinang dan Perak. Akak takut anak-anak muda seperti kumbang ini tidak dapat apa yang dikejar, manakala yang dikendung pula berciciran.

    Masa itu nasi sudah menjadi bubur, sudah terantuk baru nak tengadah. Menyesal dulu pendapatan tetapi menyesal kemudian tidak berguna lagi.

    Kita tengok sekarang, perangai orang-orang yang kumbang rasa boleh membawa perubahan kepada negara.

    Cuba lihat apa yang berlaku di dalam DUN Perak tempohari. Apa yang berlaku di Selangor? dan apa yang telah dilakukan DAP kepada orang melayu/Islam di Pulau Pinang.

    Mereka-mereka inikah yang kita harapkan untuk membuat perubahan seperti yang kumbang sarankan tersebut?

    Dan akak yakin, PAS juga akan dirosakkan oleh kumpulan ini dimuktamar PAS nanti?

    PAS akan berpecah belah, sekarang pun PAS tidak lagi mengamalkan musyawarah untuk menyelesaikan masalah perebutan jawatan.

    Dimana-mana ada pertandingan dan cantas mencantas. Maklumlah sekarang sudah ada `kek' untuk dibahagikan.

    Satu perkara lagi yang perlu diperhatikan ialah kenapa kumpulan ergogan dalam PAS begitu beria-ia sangat untuk menguasai PAS. Adakah ini kerana untuk menegakkan prinsip perjuangan PAS atau ingin mempercepatkan Anwar menduduki takhta PM.

    Percayalah cakap akak, sekiranya PR ditakdirkan memerintah, perkara yang kumbang sarankan tersebut tidak juga akan dilaksanakan. Malah agama Islam dan bangsa Melayu akan lebih terancam.

    Sebab itulah akak menyeru generasi muda supaya menyokong semula UMNO. Kita sama-sama berjuang dari dalam. Apa yang telah UMNO lakukan dan dianggap salah, kita perbetulkan. Percayalah kepimpinan sekarang mempunyai kesedaran yang tinggi untuk berubah.

    Berkenaan di Perak yang kumbang kata kerana wang, akak tidak boleh mengulasnya secara ditir disini kerana isu ini sensitif. Tetapi percayalah ianya dilakukan demi agama, bangsa dan negara. (Boleh email akak untuk penjelasan lanjut)

    Jumpa lagi. T kasih

    ReplyDelete
  16. Salam Kak,

    Ini deklerasi saya.

    Walau apa pun akak kata tentang PAS dan PR, pendirian saya tetap. selagi UMNO tak laksanakan seperti yang saya senaraikan di atas selagi itu saya takkan sokong UMNO. 11 tahun saya menunggu sejak saya beralih dari UMNO ke PAS dan sejak itu UMNO masih belum berubah.

    Sebab itu saya nak UMNO yang ada KUASA melakukan TRANSFORMASI yang sebenar-benarnya dan laksanakan seperti yang PAS perjuangkan baru saya iaitu pendokong PAS akan sokong UMNO.

    Saya beri tempoh sehingga pru-13. Sekiranya UMNO GAGAL melaksanakan dalam tempoh tersebut bermakna saya anggap UMNO tidak berminat ke arah ISLAM yang ADDIN.

    Sekian.

    ReplyDelete