Wednesday, May 6, 2009

PUAN HAJAH ROHANI RASMIKAN MESYUARAT AGUNG USAHANITA PORT DICKSON/NILAI

Puan Hajah Rohani binti Haji Yaacob, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Telok Kemang bersama barisan kepimpinan Usahanita Port Dickson/Nilai

Puan Hajah Rohani sedang memberikan ucapan Perasmian Mesyuarat Agung

Puan Hajah Rohani sedang memotong kek sempena Sambutan Hari Ibu.

Puan Hajah Gharizah, Pengerusi Usahanita Negeri Sembilan melancarkan Portal Usahanita Port Dickson/Nilai

Kak Zauyah, Pengerusi Usahanita Port Dickson/Nilai. Disebelahnya ialah Kak Ita, setiausaha Usahanita Port Dickson/Nilai

Puan Hajah Rohani menerima sejambak bunga sebagai cenderahati daripada Usahanita Port Dickson/Nilai

Wakil daripada Usahanita Negeri Sembilan

Sebahagian ahli Usahanita yang hadir

Sedang asyik mendengar ucapan

Monday, May 4, 2009

JANGAN KETAWAKAN BANGSA ARAB, MELAYU APA KURANGNYA

Oleh: BIDIN BESERI SAAD
bidin@perdanaonline.com.my

SELAMA ini kita selalu memperlekehkan bangsa Arab. Malah sejak kecil lagi kita kerap dengar kata-kata "Kiamatlah dunia kalau bangsa Arab bersatu!".

Sekarang dalam skop lebih kecil kita menyindir pula bangsa Palestin yang tidak pernah bersatu menentang Israel. Macam mana Palestin nak menang kalau Hamas dan Fatah sendiri asyik bergaduh. Sampai mati Palestin tak akan menang dengan Zionis selagi mereka tidak bersatu.

Sebab itu walaupun Israel dikelilingi berbagai negara Arab, dia tidak pernah takut berhadapan dengan sebarang ancaman, sebab israel tahu orang Arab tidak akan bersatu menentang mereka.
Kalaulah arab bersatu, tentu Israel tidak akan sewenang-wenangnya mengganyang negara Arab.

Malang betul bangsa Melayu. Mereka selalu meneropong kuman di seberang laut, tetapi lupa melihat gajah di depan mata.

Orang melayu cuma gemar melihat bangsa Arab nun jauh di sana saling bercakaran, tetapi dalam masa yang sama terlupa melihat pada diri sendiri yang sukar diajak bersatu.

Betul, apa kurangnya dengan bangsa kita melayu. Apakah melayu bersatu dalam menghadapi isu yang membabitkan bangsa, adat, budaya dan agama Islam?

Malah, kita sebenarnya patut malu dengan bangsa lain, dengan kaum Cina atau India, Kadazan atau Iban. Mereka semua bersatu demi mempertahankan kekuatan suku kaum dan ras masing-masing.

Tetapi kita disebabkan sentimen politik sanggup bergaduh, memaki hamun atau mencipta berbagai tohmahan bagi menjatuhkan saudara sebangsa dan seagama.

Disebabkan ideologi berbeza UMNO dan PAS orang Melayu berpecah. Perpecahan itu digawatkan lagi dengan kehadiran Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah lagi parti alternatif Melayu.

Mangsanya masyarakat Melayu sendiri, saudara mara, masjid dan surau.

Kerana politik, surau dan masjid menjadi medan perebutan kuasa. Bila golongan PAS menguasai masjid atau surau, penyokong UMNO tidak datang ke rumah Allh itu. Kalau masjid atau surau dikuasai UMNO, penyokong PAS akan membuat berbagai helah untuk menguasainya.

Maka berlakulah pulau memulau. Bila penyokong UMNO adakan kenduri kendara, penyokong PAS tidak hadir sekalipun mereka tinggal dalam sebuah taman perumahan atau dalam sebuah kampung dan ada pertalian persaudaraan.

Hinggakan urusan jenazah mereka pulau. Penyokong UMNO enggan menziarahi jenazah pengikut PAS. Begitu juga imam PAS enggan menguruskan jenazah orang UMNO.

Adik beradik berbalah dan tidak bertegur sapa disebabkan berbeza ideologi politik. Lebih parah lagi, sengketa politik ini membabitkan tokoh agama. Ada guru agama berani memutar belitkan maksud tafsiran al-Quran atau hadis semata-mata untuk memihak kepada perjuangan mereka.

Apa nak jadi dengan agama kita bila ALLah sendiri mereka tidak takut demi menegakkan sentimen politik!.

Tidak hairanlah sultan dan raja-raja sendiri sanggup dijadikan sasaran melepaskan kemarahan jika tidak memihak kepada mereka.

Mereka hanya menjunjung istana jika memberi keuntungan kepada perjuangan mereka.

Inilah yang diluahkan berulang kali oleh Sultan Selangor dalam titah baginda baru-baru ini. Baginda kecewa dan hairan dengan gelagat umat melayu kebelakangan ini yang semakin tidak keruan mengejar sesuatu yang tidak pasti.

Seolah-olah umat melayu hari ini sanggup menderhaka kepada sultan dan berbohong kepada Allah demi mempertahankan jaguh politik mereka.

Soalnya kenapa sentimen ini cuma berlaku dalam kelompok masyarakat Melayu sahaja?

Lihat bagaimana masyarakat India baru-baru ini bersatu dalam menghadapi isu kematian Kugan, lelaki yang menjadi buruan polis kerana disyaki menyamun kereta mewah.

Itu baru seorang yang disyaki buruan polis, belum lagi tokoh berjasa kepada bangsa mereka, mereka bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Dua timbalan menteri, seorang MIC dan seorang PPP sama-sama bersuara satu nada. Malah pemimpin PKR dan DAP dari kaum india juga bersatu memperjuangkan nasib Kugan. Tidak terkecuali Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sanggup menyediakan seberapa ramai peguam demi menegakkan kebenaran kematian Kugan.

Kenapa kita tidak mampu bersatu dalam menghadapi perjuangan menegakkan bangsa dan agama kita?

Begitu juga di rumah-rumah ibadat, keturunan India atau Cina tidak pernah bertekak berebut kuasa. Mereka tidak peduli penyokong MCA atau DAP, mereka sama-sama beribadat mengikut tuntutan agama masing-masing.

Tetapi kita, tidak kira dimana, waimma di masjid yang mulia pun masih sanggup bertekak menegakkan sentimen politik.

Ingatlah, didalam politik tidak ada yang kekal. Musuh tidak kekal dan sahabat pun tidak kekal.

Habis, kenapa kita bagaikan tidak siuman bertekak mempertahankan sesuatu yang belum pasti kekal?

BERSATULAH MELAYU!